Dalil-dalil Keutamaan dan Kepentingan Ilmu Tauhid.
Allah Swt berfirman :
(فاعلم أنه لا إله إلا الله واستغفر لذنبك)
Mafhumnya : "Maka ketahuilah bahawa tiada tuhan yang layak di sembah melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu…"
(Surah Muhammad: Ayat 19)
Ayat di atas mengandungi dua perintah dari Allah Swt iaitu :
1. (فاعلم أنه لا إله إلا الله)
2. (واستغفر لذنبك )
Al-Shaykh 'Ali Ibn Ahmad Al-Wahidi di dalam kitabnya Al-Wajiz Fi Tafsiril-Qur'anil-Aziz mentafsirkan perintah pertama dengan berkata : "Maka tetaplah di atas Tauhid dengan ilmu mu."
Al-Shaykh Muhammad Nawawi Al-Bantani pula di dalam kitab tafsirnya Al-Tafsirul-Munir mentafsirkan perintah pertama yang di atas :
"Apabila engkau (wahai Muhammad) telah mengetahui bahawa Tauhid dan ketaatan adalah punca kebahagiaan, manakala syirik dan kederhakaan pula adalah punca kecelakaan, maka tetapkanlah ilmu ketauhidan dan amalan yang menjadi tuntutan ilmu ketauhidan tersebut."
Al-Hafiz Al-Muhaddith 'Abdullah Al-Habashi berkata di dalam kitabnya Sarihul-Bayan Fi Al-Radd 'Ala Man Khalafal-Qur'an :
"Ayat ini adalah sebahagian Al-Qur'an yang mengandungi isyarat kepada dua ilmu iaitu Ilmu Tauhid dengan firman-Nya : (فاعلم أنه لا إله إلا الله) dan ilmu furuk (cabangan) dengan firman-Nya : (واستغفر لذنبك). Sebenarnya Allah Swt menyatakan terlebih dahulu tentang suatu (perintah) yang mengandungi isyarat kepada Ilmu Tauhid sebelum menyatakan suatu (perintah) yang mengandungi isyarat kepada ilmu cabangan. Dengan itu, kita dapat mengetahui bahawa Ilmu Tauhid itu adalah lebih utama daripada Ilmu Cabangan, dan Ilmu Tauhid itu adalah ilmu yang paling afdal, paling tinggi martabatnya, paling mulia dan yang pertama berbanding dengan ilmu-ilmu lain."
Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurayrah Radiyallahu'anhu, bahawa Rasulullah Saw ditanyakan tentang amalan yang paling utama, lalu baginda bersabda :
إِيمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Mafhumnya : "Keimanan dengan Allah Swt dan Rasul-Nya."
Ini kerana amalan soleh tanpa keimanan dengan Allah Swt dan Rasul-Nya tidak akan diterima.
Al-Imam Al-Ghazali berkata :
لا تـَصِحُّ الـْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الـْمَعْبُودِ
Maksudnya : "Ibadah tidak sah melainkan selepas mengenali Tuhan yang berhak di sembah."
Ini kerana sesiapa yang tidak mengenali Allah Swt, bahkan menyerupakan-Nya dengan makhluk seperti menyerupakan Allah Swt dengan sinaran cahaya, atau berpegang bahawa Allah Swt wujud bertempat seperti berada atau mendiami langit, atau duduk di atas Arasy, atau berada di mana-mana, atau mensifatkan-Nya dengan sifat makhluk, maka sebenarnya dia tidak menyembah Allah Swt, tetapi menyembah sesuatu yang tergambar di dalam khayalannya sendiri. Oleh itu, ibadahnya tidak sah kerana dia telah mensyirikkan Allah Swt.
Ibn Majah meriwayatkan daripada Jundub Ibn Abdullah, dia berkata :
كُـنـَّا مَعَ النَّبـِيِّ وَنـَحْنُ فِتــْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتــَعَلَّمْنَا الإِيمَانَ قَبـْلَ أَن نـَتـَعَلَّمَ الـْقُرْءَانَ, ثــُمَّ تـَعَلَّمْنَا الـْقُرْءَانَ فـَازْدَدْنـَا بِهِ إِيمَانــًا
Mafhumnya : "Kami pernah bersama Rasulullah Saw ketika kami kanak-kanak. Ketika itu, kami mempelajari Iman sebelum kami mempelajari Al-Qur'an. Kemudian setelah kami mempelajari Al-Qur'an, maka bertambahlah Iman kami dengan mempelajari Al-Qur'an."
(Al-Hafiz Al-Busiri mensahihkan hadith ini seperti di dalam kitabnya Misbahuz-Zujajah)
Pengajaran dan Istifadah :
Menuntut Ilmu Tauhid (Ilmu Iman, Ilmu Usuluddin, Ilmu Kalam atau Ilmu Ma'rifah) adalah wajib ke atas setiap mukallaf (1). Utamanya Iman ke atas amal soleh kerana :
1. Iman itu sentiasa wajib di pegang di dalam hati sehingga mati, bukan seperti solat yang diamalkan pada waktu-waktu yang tertentu.
2. Persoalan Imanlah yang akan di tanya terlebih dahulu apabila masuk ke gerbang alam akhirat iaitu alam barzakh.
3. Dengan Iman, seseorang yang berdosa layak untuk diampunkan oleh Allah Swt dan dimasukkan ke dalam syurga.
4. Dengan Iman, seseorang yang berdosa akhirnya layak keluar dari neraka dan masuk ke dalam syurga meski pun dengan Iman yang paling sedikit.
5. Tanpa Iman yang sahih, amalan soleh seseorang itu tidak akan di terima oleh Allah Swt meski pun dengan amalan soleh yang paling banyak.
Wallahu'alam...
Rujukan :
1. Al-Bantani, Muhammad Nawawi Ibn ‘Umar Ibn 'Arabi Ibn 'Ali Al-Jawi. Al-Tafsir Al-Munir. Dar Al-Fikr. T.tp. 1400H / 1980R.
2. Al-Habashi, Al-Hafiz Abu 'Abd Al-Rahman 'Abdullah Ibn Muhammad Ibn Yusuf Ibn 'Abdillah Ibn Jami' Al-Harari Al-Shaybi Al-'Abdari. Sarihul-Bayan Fi Al-Radd 'Ala Man Khalafal-Qur'an. Dar Al-Mashari'. Beirut. Cetakan 1. 1425H / 2004R.
3. Al-Wahidi, Abul-Hasan 'Ali Ibn Ahmad. Al-Wajiz Fi Tafsir Al-Qur'an Al-'Aziz. Dar Al-Fikr. T.tp. 1400H / 1980R.
1. Mukallaf ialah sesiapa yang diwajibkan memeluk agama Islam dan beriltizam dengan hukum hakam Islam di dalam keadaan mereka berakal, baligh dan sampai seruan asas Islam (Kalimah Tauhid) kepada mereka.
Penulisan Asal oleh Abu Nur Al-Dununiyy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan