Sabtu, 4 November 2017

GUA DAN SEBUAH MIMPI.

Dah lama rasanya gua tak menjengah blog gua ni. Dalam pada gua asyik membelek-belek handphone Sony Xperia Z3 gua sementara menanti mata gua terlena diulit intan, entah kenapa terdetik di dalam hati gua untuk mencoretkan luahan rasa gua di dalam blog gua ni, lantas menarilah jari-jemari gua ni di atas keyboard touchscreen handphone gua. Semasa fikiran gua sedang melayang diawang-awangan, tiba-tiba gua terdengar bunyi suara riuh-rendah di halaman rumah gua, lalu gua pun keluar untuk melihat apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Apabila gua keluar, gua melihat ramai orang sedang berkerumun mengelilingi satu jasad yang sudah terbujur kaku, dan apa yang membuatkan gua merasa benar-benar hairan dan pelik, jasad tersebut benar-benar mirip seperti gua dan juga berpakaian seperti gua! Gua melihat orang ramai menangisi jasad tersebut. Kemudian gua melihat jasad yang mirup seperti gua itu dimandikan, dikafankan dan seterusnya disholatkan. Kemudian, entah kenapa pandangan gua tiba-tiba berpinau dan menjadi gelap, lantas gua langsung tidak sedarkan diri dan tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu. Beberapa ketika kemudiannya, mata gua tercelik, dan gua tersedar. Di dalam hati gua terdetik, mungkin gua pengsan agaknya tadi. Tetapi, pada ketika gua tersedar itu, gua merasa seperti gua sedang berada di dalam suatu ruang yang samar-samar dan sempit, dan gua tidak pasti ruang apakah yang sedang gua berada ketika itu. Tiba-tiba, gua terdengar suatu, bunyi seperti ada sesuatu yang jatuh terhempas disebelah gua. Dalam suasana yang samar-samar itu, gua pun pun meraba-raba, untuk mengetahui apakah benda yang jatuh terhempas disebelah gua itu, dan gua dapati benda tersebut adalah satu tompokan tanah. Dalam hati gua berkata, "Tanah mende pulak ni?" Apabila gua memandang ke atas, gua melihat beberapa orang sedang menimbus gua dengan tanah! Gua merasa panik, cemas dan benar-benar di dalam keadaan ketakutan yang amat sangat! Ketakutan yang gua tidak pernah rasakan selama gua hidup! Lalu, gua pun berteriak dan menjerit-jerit sekuat hati, merayu kepada mereka agar mengeluarkan gua dari ruang sempit tersebut. Tetapi mereka seperti tidak mendengar langsung teriakan gua! Tiada seorang pun! Beberapa waktu kemudian, pandangan disekeliling gua menjadi gelap-gelita, dan  suasana menjadi senyap sunyi. Kemudian gua terdengar suara derapan kaki manusia di atas gua, namun secara perlahan-lahan bunyi tersebut semakin lama semakin hilang dari pendengaran gua. Gua menjadi semakin panik! Gua terus berteriak dan menjerit sekuat hati gua, dengan harapan ada sesiapa yang dapat membantu untuk mengeluarkan gua dari ruang sempit tersebut. Gua pun cuba untuk bangun, tetapi gagal kerana gua merasa tubuh badan gua seperti telah diikat, lebih-lebih lagi ruang yang gua sedang berada itu terlalu sempit. Kemudian gua meraba-raba tubuh badan gua, dan gua merasa hairan. Baju apa pulak yang gua pakai ni? Kenapa baju ni macam ada bau kapur barus? Mana pulak perginya baju yang gua pakai malam tadi? Kemudian gua meraba-raba disekeliling ruang tersebut, sekali lagi gua merasa panik dan cemas, kerana disekililing ruang tersebut adalah tanah! Di dalam hati gua berkata, "Kat mana pulak gua ni? Kenapa kuat sangat bau kapur barus, bau tanah dengan bau lumpur ni? Diorang sumbat aku kat dalam tempat apa pulak ni?" Kemudian gua terdiam, gua cuba berfikir apa sebenarnya yang sedang berlaku pada gua. Dan pada saat itu juga, terlintas di dalam fikiran gua, "Gua ni dah mati ke?" Lantas, diri gua terus diselubungi dengan perasaan takut dan cemas yang tidak dapat digambarkan, rasa takut setakut-takutnya, rasa takut yang tidak pernah gua rasa selama gua hidup! Maka, berteriaklah gua dengan sekeras-kerasnya, menjerit-jeritlah gua dengan sekuat-kuatnya kepada orang-orang yang pada anggapan gua dapat mengeluarkan gua dari lubang tersebut. "Ibu...!!! Umi...!!! Abah...!!! Ayang...!!! Kakak...!!! Adik...!!! Sahabat...!!!" Namun Tiada sesiapa pun yang mendengar dan menjawab teriakan gua. Ketika itu baru gua sedar, gua yang selama ini lupa, malah sedikit pun gua tidak ingat kepadaNya, bahawa hanya Allah Swt yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa diatas setiap segala sesuatu! Pada saat ini, hanya doa dari orang-orang yang mengingati gua dan amalan-amalan gua sahaja yang dapat menyelamatkan gua dari seksa azab kubur, itu pun jika ianya diterima oleh Allah Swt. Kini, baru gua benar-benar faham akan kata-kata ibu dan umi ku, "Orang yang dah mati tu, kalau boleh, mintak dihidupkan balik hanya untuk beramal ibadah kepada Allah Swt." Namun, segalanya sudah terlewat, gua pasti akan menerima hukuman dari Allah Swt. "Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku! Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku! Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku! Lindungilah aku dari seksa azab kubur Mu, Ya Allah...!!!

Diriwayatkan dari Abdullah bin Salam : "Akan masuk atas mayit sebelum masuknya munkar dan nakir yang Kemudian gua melihat seseorang yang wajahnya begitu bersinar seperti matahari datang kepada gua. Gua pun bertanya kepadanya: "Siapakah engkau?" Ia pun menjawab: " Akulah Malaikat Rumman!" Kemudian ia terus menghampiri gua dan berkata : "Tulislah kesemua amal baik dan amal burukmu. Gua pun menjawab : "Dengan apa aku nak menulis? Dimana penaku? Dimana tintaku? Dimana lembaranku? Malaikat Rumman menjawab : "Air ludahmu adalah tintamu, dan jari-jarimu adalah penanya. Gua pun bertanya lagi : "Aku nak tulis dimana, sedangkan aku tidak mempunyai kertas disini?" Kemudian gua melihat Malaikat Rumman memotong sebahagian dari kain kafan yang gua pakai, lalu berkata : "Nah, Ini bukumu untuk kamu mencatat kesemua amalmu. Tulislah! Dan dalam keadaan ketakutan itu, gua pun menulis dan mencatatkan segala amal yang telah gua lakukan dengan jari sebagai penanya, air ludah sebagai tintanya dan kain kafan sebagai bukunya. Tapi, pada saat gua ingin menulis mengenai amal burukan yang pernah gua lakukan selama ini, gua tidak mampu untuk meneruskannya lalu menangis dan merintih. Perasaan gua benar-benar bercampur-baur di antara rasa satu, pilu, takut, berdosa, malu dan berbagai-bagai lagi. Kemudian Malaikat Rumman membentak gua dan berkata : "Mengapa engkau tidak merasa malu kepada Allah Swt yang telah menciptakan kamu, pada saat engkau melakukan berbagai amal keburukan ketika di dunia, padahal hari ini kamu malu kepadaku!" Pada saat itu juga, seluruh tubuh gua mengigil ketakutan yang tidak dapat digambarkan, dan seraya dengan itu juga, gua melihat Malaikat Rumman mengangkat sesuatu yang sangat besar, lantas terus memukul gua tubuh badan gua. Tiba-tiba gua merasa gua seperti terjatuh ke atas sesuatu. Gua merasa bahagian belakang kepala gua sakit seperti terhentak. Dalam keadaan mamai, gua bukak je mata, tau-tau gua berada di atas lantai dalam keadaan terlentang. Rupa-rupanya gua terjatuh dari katil. Kepala gua sakit sebab terhentak atas lantai. Dan saat itu juga sedar, apa yang gua alami tadi hanya sebuah mimpi, Naudzu Billahi mindzalik.

Gua benar-benar bersyukur kerana Allah masih lagi memberikan gua peluang untuk gua memperbetulkan syahadah gua, dan gua sedar, hanya Allah Swt yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa di atas segala setiap sesuatu. Tiada yang layak disembah melainkan Allah Swt, dan Nabi Muhammad Saw itu Pesuruh Allah Swt. Ya Allah Ya Tuhanku! Ampunkanlah segala dosa-dosaku! Ampunkanlah segala dosa-dosa kedua ibubapaku!Ampunkanlah segala dosa-dosa umi! Ampunkanlah segala dosa-dosa isteri dan anak-anakku! Ampunkanlah segala dosa-dosa kedua arwah ibubapa mertuaku! Ampunkanlah segala dosa-dosa ahli keluarga arwah mertuaku! Ampunkanlah segala dosa-dosa adik-adiku dan keluarganya! Ampunkanlah segala dosa-dosa saudara-maraku! Ampunkanlah segala dosa-dosa para sahabat-sahabatku! Ampunkanlah segala dosa-dosa seluruh umat muslimin dan muslimat! Ya Allah, berikanlah kepada kami kekuatan dan ketabahan di dalam menjalani segala ujian darimu! Ya Allah, Jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang sholeh dan sholehah, bertakwa dan patuh pada perintah suruhan dan laranganMu! Ya Allah, Permudahkanlah segala urusan-urusan kami! Hapuskanlah Wahn dari hati dan jiwa-jiwa kami! Lindungilah kami dari kekejaman kaum kuffar dan fitnah dajjal! Lindungilah umat muslimin di palastin dari kekejaman tentera israel! Haramkanlah tubuh kami dari seksa azab kubur dan api neraka! Janganlah Engkau cabut nyawa kami pada saat tubuh kami tidak pantas untuk berada di dalam SyurgaMu! Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, dan Engkaulah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa diatas segala setiap sesuatu! Dan sesungguhnya kami hanyalah hamba-hambaMu yang lemah dan tidak berdaya! Amin, Amin, Ya Robbal'aalamin!

Allah Swt juga telah berfirman mengenai hal ini di dalam Surah Al-Mu'minun, ayat 99 & ayat 100 :

(99) حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلۡمَوۡتُ قَالَ رَبِّ ٱرۡجِعُونِ
Maksudnya : "Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)."

(100) لَعَلِّىٓ أَعۡمَلُ صَـٰلِحًا فِيمَا تَرَكۡتُ  ۚ  كَلَّآ  ۚ  إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآٮِٕلُهَا‌   ۖ   وَمِن وَرَآٮِٕهِم بَرۡزَخٌ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ
Maksydnya : "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula pada hari kiamat.
(Surah Al-Mu'minun: Ayat 99 & 100)

Allah Swt berfirman Surah As-Sajdah, ayat 12 & 13 :
(12). وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلۡمُجۡرِمُونَ نَاكِسُواْ رُءُوسِہِمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ رَبَّنَآ أَبۡصَرۡنَا وَسَمِعۡنَا فَٱرۡجِعۡنَا نَعۡمَلۡ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin."

(13). وَلَوۡ شِئۡنَا لَأَتَيۡنَا كُلَّ نَفۡسٍ هُدَٮٰهَا وَلَـٰكِنۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ مِنِّى لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ
Maksudnya : Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal sholeh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat), tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu : "Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)."
(Surah As-Sajdah : Ayat 12 & 13)

Allah Swt berfirman di dalam Surah Qaf, ayat 22 :
(22). لَّقَدۡ كُنتَ فِى غَفۡلَةٍ مِّنۡ هَـٰذَا فَكَشَفۡنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلۡيَوۡمَ حَدِيدٌ
Maksudnya : (Serta dikatakan kepadanya) : "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada di dalam keadaan yang lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)."
(Surah Qaf : Ayat 22)

Allah Swt berfirman di dalam Surah Al-Mulk, ayat 10 :
(10). وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Maksudnya : Dan mereka berkata : "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk di dalam kalangan ahli neraka."
(Surah Al-Mulk: Ayat 10)

Allah Swt berfirman di dalam Surah Ash-Shura, ayat 44 :
(44). وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُ  ۥ مِن وَلِىٍّ مِّنۢ بَعۡدِهِۦ   ۗ   وَتَرَى ٱلظَّـٰلِمِينَ لَمَّا رَأَوُاْ ٱلۡعَذَابَ يَقُولُونَ هَلۡ إِلَىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبِيلٍ
Maksudnya : Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: "Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?"
(Surah Ash-Shura: Ayat 44)