Rabu, 30 Ogos 2017

BERJAYA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT.

Orang-orang yang berjaya 'membuang' dunia dari dirinya adalah orang-orang yang berjaya di Akhirat nanti. Apakah maksud 'membuang dunia' itu? Ianya bermaksud meletakkan segala-galanya, baik dari segi kehidupannya, rohaninya, perlakuannya, percakapannya, mulutnya, telinganya, pemikirannya, pendiriannya dan juga tafsirannya, semuanya hanya kepada dan kerana Allah Azza Wajalla. Ini juga bermakna bahawa hanya jasadnya sahaja yang masih berdiri di atas muka bumi ini. Tetapi apa yang dilakukannya saban hari hanyalah / adalah kerana amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya dengan berniatkan hanya kepada Allah Swt. Jika seseorang itu ditakdirkan ditimpa musibah, ia tahu bahawa itu adalah ujian dari Allah Swt terhadapnya dan dia redha. Jika seseorang itu kehilangan anak, isteri, suami, ibu atau bapa atau kehilangan harta benda dan sebagainya, maka ia juga tahu bahawa semua itu adalah ujian dari Allah Swt terhadapnya. Jika sebelumnya dia dianugerahkan pinjaman-pinjaman tersebut dan kemudian Allah Swt menarik semula pinjaman itu daripadanya, akan bertambahlah keredhaannya kepada Allah Swt dan dia meyakini sepenuhnya terhadap Qada' dan Qadar yang telah ditetapkan ke atasnya. Akhirnya ia menjadi di antara orang-orang yang melepasi ujian-ujian dunia kerana berpegang pada keyakinan bahawa di akhiratlah ia akan dikekalkan buat selama-lamanya kerana semua yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman serta pentas lakonan bagi melihat sejauh manakah keimanannya dapat bertahan serta menerima ujian-ujian dari Allah Swt. Sesungguhnya ia adalah orang-orang yang berjaya di dunia dan juga di akhirat, Insya'allah.

Tiada ulasan: