Sabtu, 2 September 2017

RUU 164 : TRAGEDI MALANG BUAT UMAT ISLAM DI NEGARA INI.

(10 Ogos 2017)

1. Parlimen Malaysia telah mencatatkan sebuah lagi episod sejarah yang perlu dikenang pada 9 Ogos 2017 & akan terpahat di dalam memori yang mengerikan buat negara yang selama ini digelar sebagai sebuah negara Islam apabila rang undang-undang bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 atau dikenali juga sebagai Akta 164 diluluskan pada jam 1 pagi setelah diperbahaskan selama beberapa jam di parlimen.

2. Di pihak PAS, seramai 13 orang ahli parlimennya telah mengambil bahagian dengan memberikan peranan yang sepenuhnya di dalam membahaskan RUU 164 ini. Mereka adalah ibarat benteng terakhir umat Islam yang mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mereka telah melaksanakan amanah mereka dengan baik, namun parlimen telah membuat keputusannya. Apa yang pasti kesemua mereka akan menjadi saksi di hadapan Allah Swt di akhirat kelak.

3. Tidak timbul soal PAS hanya bersikap pilih kasih & hanya menjadi 'penyokong' kerajaan UMNO - BN. Ianya sudah jelas bersuluh untuk dilihat. Bagi PAS, jika sesuatu perkara itu baik untuk Islam & negara ini, sama ada kerajaan mahu pun pembangkang, PAS akan menyokongnya. Sebaliknya, jika ianya bertentangan dengan Islam & rakyat di negara ini, tidak kira siapa yang mencadangkan usul ini, PAS tetap akan menentangnya. PAS mempunyai prinsip & prinsip mereka amat mudah difahami, iaitu Islam adalah matlamat yang tertinggi di dalam perjuangan PAS.

4. Di dalam usul tersebut, PAS menentang apa yg telah dibentangkan oleh pihak kerajaan. PAS tetap berdiri teguh mempertahankan prinsip Islamnya, di dalam keadaan pihak pembangkang lain yang tidak bersatu & tidak bersepakat di dalam menyatakan pendirian mereka. Bahkan, ahli parlimen pembangkang sanggup pula bersekongkol dengan ahli parlimen BN utk meranapkan hak-hak umat Islam di negara ini.

5. Apa yang lebih menyedihkan, daripada sejumlah 141 ahli parlimen yang beragama Islam, sama ada dari pihak kerajaan UMNO - BN mahupun pembangkang, tidak ada satu pun suara daripada mereka untuk membangkang akan usul ini. Dan apa yang menjadi tanda tanya ialah apabila ahli parlimen yang beragama Islam dari parti Amanah Negara (PAN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengaku berjuang untuk Islam, tidak turut sama mengambil bahagian untuk membantah usul ini. Speaker parlimen dengan mudah telah menolak bantahan dari MP PAS yang berjumlah seramai 13 orang tersebut tanpa perlu mengundi kerana mereka tidak mempunyai cukup 'korum' untuk membuat belah bahagi.

6. PAS mempunyai sebab-sebab dan alasan yang kukuh untuk menentangnya & bukannya bangkit menentang secara semberono atau menentang untuk meraih kepentingan politik demi populariti semata-mata. RUU 164 ini perlu ditarik balik dengan alasan yang sangat jelas & kuat, iaitu ianya bercanggah dengan undang-undang persekutuan yang sedia ada seperti Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 & juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

7. Apa yang dibimbangkan ialah RUU 164 dapat membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini. Di antara bahaya yang bakal menjelma hasil dari RUU 164 ini ialah seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa yang beragama Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam. Selain dari itu, RUU 164 ini juga memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut agama Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Sebaliknya, orang Islam hendaklah dibenarkan untuk keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa perlu dikenakan apa-apa tindakan undang-undang

8. Di antara lain, hak-hak umat Islam yang terlucut hasil dari RUU 164 ini ialah seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk agama Islam tidak harus diberikan hak-hak penjagaan anak. Bahkan orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk agama Islam hendaklah diberikan hak-hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

9. Dengan meluluskan Akta RUU 164, bererti ianya adalah suatu kekalahan besar terhadap kepentingan Islam & kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini. Selepas ini, satu demi satu hak-hak umat Islam akan terlucut, ditarik, ditukarkan dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa yang ingin murtad & ingin menukar agama serta mengikis hak-hak terutamanya di dalam hak-hak penjagaan anak-anak.

10. Semoga tragedi di parlimen pada 9 Ogos 2017 ini dapat membuka mata rakyat bahawa kerajaan pimpinan UMNO - BN tidak boleh diharapkan untuk membela agama Islam. Selama mereka memerintah, selama itulah maruah umat Islam akan terus tergadai & terabai. Di sisi yang lain, kelihatan jelas parti-parti pembangkang bukanlah pembela Islam yang sejati, sebaliknya hanya untuk menjadikan Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja. Ketika di dalam keadaan yang tersepit & terdesak, Islam dijulang & ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan seandainya mereka dapat memerintah kelak, apa yang akan berlaku kepada nasib umat Islam di negara ini?

Dr. RIDUAN MOHD NOR
(Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)

Tiada ulasan: