Sebenarnya, perjalanan Islam pada akhir zaman kini sedang menuju ke zaman kebangkitannya. Namun, di dalam masa yang sama juga umat Islam kini sedang menuju kembali ke zaman kejahilan. Apabila menyebut tentang kedua-dua perkara ini, terdapat dua persepsi yang akan menimbulkan tanda tanya, iaitu apakah yang dimaksudkan mengenai kebangkitannya dan dimanakah kejahilannya.
• KEBANGKITAN ISLAM.
Umum mengetahui bahawa umat Islam pada hari ini sedang berada di fasa keempat bagi tangga keseluruhan untuk umat Nabi Muhammad Saw, yakni bermulanya dari zaman baginda sendiri yang merupakan zaman fasa pertama umat Islam. Setelah kejatuhan empayar Islam terakhir di Turki pada tahun 1924, umat Islam telah memasuki zaman di mana ianya adalah zaman kediktatoran yang penuh dengan hasutan dan kesesatan yang bertujuan untuk memusuhi serta menjatuhkan empayar umat Islam. Jika diperhatikan pada sekitar 60, 50, 40, 30 dan 20 tahun yang lepas, rata-rata umat Islam telah dicondongkan pemikiran mereka ke arah budaya barat. Tetapi pada hari ini dengan izin Allah Swt, yang bersesuaian dengan janji-Nya di dalam surah An-Nur ayat 55, bahawa Allah Swt telah menjanjikan bahawa kemenangan yang mutlak akan kembali semula ke tangan umat Islam kelak. Dengan itu, Allah Swt telah menggantikan dengan orang-orang yang dikehendaki-Nya yang membenci akan budaya barat tersebut. Fakta ini juga dapat dilihat pada hari ini di mana ramai dari kalangan muda-mudi muslim yang kembali menyintai Islam serta tidak menggemari mengenai perihal keduniaan. Inilah tanda-tanda awal kebangkitan Islam yang akhirnya kemenangan mutlak kembali semula kepada umat Islam pada akhir zaman ini.
• KEJAHILAN UMAT ISLAM.
Perhatikan pula fenomena umat Islam hari ini. Rata-rata dari mereka telah dijangkiti Al-Wahn, yakni mereka yang cintakan keduniaan serta takut akan kematian. Mereka berlumba-lumba mengejar keseronokkan dunia seperti tiadanya hari kematian bagi mereka, sedangkan mereka beragama Islam dan tahu apa yang telah diajar dan dituntut di dalam Islam. Tetapi kerana nikmat dunia yang penuh dengan tipu daya ini, ramai di antara mereka yang kecundang dibuai dengan nikmat keduniaan. Mereka rela meninggalkan agama, mereka rela mempersendakan agama malah ada di antara mereka yang sanggup murtad dan memeluk agama lain atau kepercayaan lain setelah tidak lagi yakin dengan Islam. Inilah senario umat Islam pada hari ini. Bagi mereka halal dan haram itu sudah sama dan sebati dengan diri mereka. Mereka menganggap hanya orang-orang yang kolot dan ketinggalan zaman sahaja yang mengamalkan ajaran Islam sejati. Bagi mereka, jika ingin maju harus mencontohi cara hidup orang-orang kafir. Maka, ramailah dari kalangan umat Islam yang secara tidak sedar telah masuk ke dalam perangkap orang-orang kafir dan syaitan laknatullah sehingga membuatkan mereka tergolong di dalam golongan orang-orang yang fasik dan munafik. Na'uzubillah...!
Bukankah tanda-tanda ini pernah disebutkan Rasulullah Saw? Adakah ini realitinya?
Wallahua'lam...
Kredit By : Hamza Asadullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan