Isnin, 11 September 2017

HUKUM MENGENAI ARAK.

Terdapat beberapa dalil yang jelas menunjukkan tentang pengharaman arak. Allah Swt berfirman :

(90) يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

(91) إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٲوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِى ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِ‌   ۖ   فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَہُونَ

"Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah Swt dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?"
(Surah Al-Ma'idah : Ayat 90 - 91)

Firman Allah Swt di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 90 dan 91 di atas memperjelaskan kepada kita tentang hukum pengharaman arak. Umat Islam telah diperintahkan oleh Allah Swt agar menjauhkan diri dan tidak terlibat dengan hal-hal yang berkaitan dengan arak. Seseorang yang berusaha untuk tidak terlibat dengan arak dan menjauhkan diri darinya (arak), akan mendapatkan keuntungan. Jika seseorang itu melibatkan dirinya di dalam hal-hal yang berkaitan dengan arak, mereka adalah termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi. Selain dari memudaratkan kesihatan, arak juga dapat menimbulkan banyak keburukan, permusuhan dan kebencian. Oleh kerana itulah Allah Swt telah memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya supaya meninggalkan arak dan menjauhkan diri darinya. Pada ayat terakhir (فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ) di dalam Surah Al-Ma'idah di atas, Allah Swt juga memerintahkan agar kita berhenti daripada terus mengerjakannya. (Lihat Sahih Fiqh Sunnah : 1/385)

Rasulullah Saw telah bersabda :

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya : "Allah Swt melaknat arak, orang-orang yang meminumnya, orang-orang yang menuangnya, orang-orang yang menjual dan membelinya, orang-orang yang memerahnya, orang-orang yang mengambil hasil perahannya, orang-orang yang menghantarnya dan juga orang-orang yang meminta untuk dihantarkan."
(Hadith Riwayat Abu Daud : No.3674 dan Ibnu Majah : No.3380, dari Ibnu 'Umar, Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadith tersebut adalah sahih. Lihat juga Sahih At-Targhib Wa At-Tarhib : No.2356)

Hadith di atas memperjelaskan kepada kita bahawa Allah Swt melaknat zat arak, agar setiap orang menjauhinya. Boleh juga difahami dengan apa yang dimaksudkan dengan 'Allah Swt melaknat arak', iaitu melaknat orang-orang yang memakan hasil upah daripada penjualan arak. (Lihat 'Aunul Ma'bud : 8/174, Mawqi' Al-Islam)

Para ulama' juga Ijma' (Kesepakatan para ulama' umat Islam) dengan menyatakan bahawa arak itu adalah haram. (Lihat Al-Mawsu'ah Al-Fiqhiyah Al-Quwaitiyah : 2/8757)

Setelah jelas mengenai pengharaman arak ini, sebagai natijahnya seseorang itu tidak boleh memiliki arak dengan cara apa sekali pun, sama ada ianya adalah pilihan atau kehendaknya sendiri seperti melalui jual-beli dan hadiah. Hal ini adalah berdasarkan daripada sabda Rasulullah Saw :

إِنَّ الَّذِى حَرَّمَ شُرْبَهَا حَرَّمَ بَيْعَهَا

"Sesuatu yang haram diminum, haram pula untuk menjualnya."
(Hadith Riwayat Muslim : No.1579, dari Ibnu 'Abbas)

Rasulullah Saw juga bersabda :

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ

"Sesungguhnya Allah Swt mengharamkan jual-beli arak, bangkai, babi dan berhala."
(Hadith Riwayat Al-Bukhari : No.2236 dan Muslim : No.1581, dari Jabir Bin 'Abdillah)

Oleh kerana itu, umat Islam tidak boleh terlibat dengan apa jua hal yang berkaitan dengan arak atau bekerjasama untuk mengeluarkan, mengedarkan, menjualnya, menjadi pekerja (buruh) dan apa saja yang mempunyai kaitan dengannya, kerana hasil yang diperolehi darinya adalah haram, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith-hadith di atas.

Wallahua'lam...